Sunday, August 16, 2015

TEGAS BUKAN KERAS

KISAH 34
KITA PENDAKWAH BUKAN PENGHUKUM
Entah mengapa agaknya …. rasa bersalah jika saya naikkan markah pelajar melayu dan abaikan pelajar berbangsa lain. Rasa didikan agama semenjak tahun 70’an agaknya melarang saya berbuat demikian. Saya akan naikkan markah yang border line tanpa melihat siapa pelajar tersebut …. Contoh mereka yang mendapat 79 … saya akan naikkan ke 80.
Jika dari awal saya sudah ditanam dengan semangat Melayu yang menebal (BANGSA DIDAHULUKAN MELEBIHI AGAMA)….. saya akan menzalimi bangsa lain tanpa di sedari. Saya sering menjelaskan perkara ini di dalam kelas, “Jika kamu rasa agak mesra bila bersama bangsamu sendiri, itu adalah tabi’i atau perkara biasa. Tapi jika ada pelajar melayu datang, kita bantu dan pelajar cina datang kita tidak bantu hanya kerana dia bangsa lain, itu salah dan zalim. Jika sesama bangsa kita tidak tipu jika bangsa lain kita tipu … itu bukan ajaran Islam. Kalau orang bukan Islam buat kepada kita, kita tidak sepatutnya menjadi mereka sebagai ikutan kita lantas melakukan perkara yang sama. Islam mengajar kita untuk bersikap adil kepada semua orang. Sikap ini tidak mungkin kita dapat laksanakan jika kita sering mengetepikan ajaran Islam lantas menghayati sikap cintakan bangsa membuta tuli.
Perasaan ini akan menjadi sebati jika ia bertolak dari hati sanubari seorang Muslim yang ingin amalkan apa yang diamalkan oleh Rasulullah saw. Dakwah Rasulullah saw merentasi semua bangsa kerana Islam itu Rahmatulil ‘alamin
Saya teringat brother Shah Kirit (seorang revert berbangsa India) pernah mengadu, “Saya ada ramai kawan yang melayu tapi tak pernah mereka mengajak saya pada Islam. Islam itu bukankah agama untuk seluruh manusia …. Mengapa ia berlegar pada orang melayu sahaja”
Kita benci pada kemungkaran, bukan benci pada orang yang membuat mungkar. Kita kesiankan orang yang membuat mungkar, oleh itu kita teringin sangat hendak menarik dia keluar dari perbuatan mungkarnya itu. Orang Taif benci pada Rasulullah saw lantas mengherdik beliau dan menyuruh orang Taif menghalau beliau ….. namun Rasulullah tidak membenci mereka, malahan mendoakan mereka.
Jika kita benci pada batang tubuh sesaorang itu, kita tidak akan teringat untuk mendoakannya, malahan kita akan mencercanya. Jika kita benci pada kemungkaran yang dilakukan oleh sesaorang itu  …. kita ajak dia kepada kebaikan, kita doakan dia, kita tunjukkan kesalahannya … tanpa kita mengherdik dan menyumpahnya. Agak-agaknya orang yang pada mulanya bermusuh dengan Islam seperti Umar Al-Khattab, Khalid ibn Walid, Abu Sufyan – minat ke dengan Islam jika Rasulullah saw dok herdik, dok sumpah, dok cerca mereka-mereka ini. Jika pagi petang siang dan malam Rasulullah saw dok canang, “Mu ni kafir harbi … mu ni ahli neraka …mu ni musuh Islam” agak-agak berminat ke mereka nak peluk Islam. Kita adalah Pendakwah bukan Penghukum.
“Sesungguhnya Allah hanya merahmati hamba-hambaNya yang pengasih” HR Bukhari No. 1284.
Perlu diingatkan mempunyai sifat pengasih ini tidak bererti kita mendiamkan kemungkaran yang dilakukan oleh manusia lain. Jika kita mendiamkannya kerana dia sebangsa dengan kita, kita mendiamkannya kerana dia satu parti dengan kita, kita mendiamkan kerana dia rakan kita …. Ini bukan dari ajaran Islam. Islam mengajar kita untuk menegur dengan penuh hikmah .... hikmah tidak sentiasa mesti berlembut, kadangkala kena bertegas tapi bukan berkeras. Tegas, yang salah tetap salah. Tegas, rasuah tetap rasuah. Tegas, yang haram tetap haram.

No comments:

Post a Comment