KISAH 20
Inilah pertama kali kaki ini melangkah masuk ke dalam penjara. Peristiwa ini bukan berlaku 10 atau 20 tahun yang lepas …. Tetapi beberapa minggu yang lepas dalam tahun 2015. Saya menunggu dengan penuh debaran. Maklumlah – tak pernah seumur hidup masuk dalam perkarangan penjara. Saya masuk penjara bukan kerana membuat apa-apa kesalahan tetapi untuk menyertai Hari Jalinan Mesra yang dianjurkan oleh pihak penjara (tak mahu sebut penjara mana).
Orang yang saya hendak temui ini baru mendapat pengampunan dari tali gantung bulan Mac 2015 oleh Sultan Johor. Sungguh berdebar hati ini ingin bertemu dengan orang yang dikatakan kena aniaya oleh rakannya. Kini semua rakan yang menganiayanya telah meninggal dunia dan beliau pun telah memaafkan mereka dan tidak mahu berdendam lagi kepada mereka. 12 tahun bukan satu jangka masa yang pendek …. Saya tidak dapat bayangkan. Beliau merupakan 25 dari lebih 1000 orang yang terpilih untuk menyertai program Jalinan Mesra bersama keluarga. Mereka yang terpilih ini adalah mereka yang mempunyai rekod yang baik di dalam penjara.
“Jangan ingat semua yang berada di dalam penjara ni orang jahat-jahat. Ramai lagi orang yang seperti saya. Tetapi oleh kerana mereka tidak ada kemampuan untuk mendapat khidmat peguam yang hebat …. Mereka terpaksa akur dengan keadaan” begitulah saya diingatkan oleh isteri beliau sewaktu dalam perjalanan ke Penjara. Tanah habis digadaikannya bagi menampung perbelanjaan peguam. Memang sah dah boleh menang …. tetapi nasib tidak menyebelahi mereka. “Dr. Mungkin ada hikmah semuanya ini berlaku.” Kata beliau pada saya pada hari tersebut.
Saya sudah sekian lama mengenali keluarga beliau. Tapi kali ini jauh lebih rapat lagi. Teringat satu ketika dulu semasa program Bingkisan Ramadhan … ketika itu anak-anaknya masih kecil. Kami membawa anak-anak yang kurang bernasib baik ini (lebih dari 30 orang termasuk anak-anaknya) ke Mydin untuk “shopping” baju raya. Tiba-tiba seorang anak kecil minta belikan jam tangan …. bukan yang RM100, atau RM200 tetapi yang RM10 sahaja. Baru beberapa minggu yang lepas, kami dapat tahu bahawa budak kecil itu ialah salah seorang dari anak beliau ini yang kini sudah berada di Tingkatan 5.
Anak-anak beliau kini sudah remaja. Bayangkan si ibu yang kini berusia 37 tahun terpaksa membesarkan 5 orang anak. Yang bongsu ketika itu berusia 1 tahun dan kini 13 tahun. Rumah mereka tidak terurus kerana kesibukan untuk mencukupkan rezeki bagi makan minum anak-anaknya. Mereka membesar tanpa kasih sayang dari seorang ayah.
Kini saya berhadapan dengan individu yang telah dipenjarakan selama 12 tahun ini. Rupa-rupanya beliau ini disayangi oleh rakan-rakan sepenjara dan juga oleh pegawai penjara. Dia kreatif dan pandai melukis dan berhias. Salah satu contoh ialah pokok yang diperbuat dari sabun dalam gambar di bawah ini. Pokok ini telah dihadiahkan kepada saya tempoh hari. Apabila diminta untuk dipindahkan ke penjara lain, beliau telah dilarang oleh pihak penjara kerana inginkan beliau terus menetap di penjara tesebut kerana beliau telah banyak mengharumkan nama penjara. Beliau telah berjaya memenangi tempat pertama dalam peraduan melukis dan seumpamanya. Dia juga menjadi imam dan tidak lekang membaca Al Quran apabila ada masa terluang.
Sesampai saya di sana, dia menghulurkan segulung kertas kepada anaknya. Di dalamnya tercatat beberapa surah dan zikir untuk dibaca tatkala hendak bermunajat kepada Allah swt. “Ini diberikan oleh ustaz kepada saya. Mohon amalkan”
Dia begitu gembira menyambut kedatangan saya kerana mengetahui saya mewakili IKRAM telah membantu bagi membaik pulih rumahnya baru-baru ini. Kami dari IKRAM telah buat MAKEOVER ke atas rumah beliau.
Atas saranan dari pegawai penjara, beliau meminta isterinya membuatkan surat pengampunan bagi diserahkan kepada Sultan. Alhamdulillah surat telah dapat disiapkan dan akan diserahkan kepada pihak istana tidak lama lagi Insya Allah.
Saya memohon dari para pembaca agar dapat sama-sama menghulurkan sumbangan melalui ikram JBT bagi membantu kehidupan mereka berenam. Sedih melihatkan keadaan keluarga ini yang tidak mempunyai sumber pendapatan yang tetap. Isterinya kini membuat kerja mencuci di rumah orang dan juga beberapa kerja yang lain. Pendapatan lebih sikit dari RM1,000, Alhamdulillah, berkat kerja hariannya dan juga bantuan sedikit dari pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat, isterinya dapat membesarkan anak-anaknya, walaupun dalam keadaan yang agak susah. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya.
Semoga Allah swt menerima segala pengorbanan beliau dan segala kesabaran beliau selama ini. Bagi yang ingin menyumbang bolehlah masukkan dalam akaun Bank Muamalat 01080000628710 atas nama Pertubuhan IKRAM Malaysia Johor Bahru Tengah dan nyatakan “Sumbangan Keluarga Teraniaya” Insya Allah segala sumbangan anda akan disampaikan kepada keluarga beliau nanti.
No comments:
Post a Comment