Thursday, August 13, 2015

Menggerakkan Aktiviti Pelajar Bermasalah

KISAH 19
Setiap aktiviti yang dijalankan - macam tidak ada sambutan. Agak tercabar juga. Ini bukan kali pertama kami membuat Kursus Motivasi ..... tapi ini merupakan kali pertama kita membuat Kursus Motivasi dengan pelajar yang bermasalah. Sebelum ni ada juga buat dengan pelajar bermasalah - tapi ini kali pertama buat di tepi laut di satu sekolah yang jauh dari kampung halaman kami.
Seperti biasa, saya berbincang dengan AJK .... apa perlu kita lakukan. Kita tidak boleh teruskan dengan perancangan asal kita. Kumpulan pelajar ni lain macam kentalnya. Akhirnya pada malamnya - kita telah rancang satu program mengejut.
Kami kumpulkan mereka dalam beberapa kumpulan, setiap kumpulan kita sediakan dua orang fasilitator. Saya ambil salah satu kumpulan. Kami sama-sama bersila rapat-rapat di atas pasir di tepi laut dan kami mulakan program.
"Ok ..... sekarang ni ... hanya kita sahaja yang ada. Guru kamu semua takde di sini. Cikgu nak adik-adik semua luahkan perasaan adik-adik ... berkenaan apa jua masalah yang selama ini terbuku di dalam hati ... cikgu sedia mendengar"
Sebenarnya ia perlukan seorang untuk memulakan...Alhamdulillah ada seorang hamba Allah menyambut seruan saya. "Saya ni cikgu .. amat kecewa dengan layanan guru kami di sekolah ini ....." Saya biarkan sahaja dia bercerita sambil mengangguk angguk kan kepala. Jangan jawab ...dan jangan marah.... mereka sebenarnya perlukan seorang pendengar yang baik. Ada yang cerita mereka pernah ditumbuk oleh guru. Ada yang bercerita mereka pernah dipaksa berjalan berkilo meter jauhnya.
Mereka seronok bercerita kerana saya seronok mendengar dengan penuh perhatian. Di akhirnya, saya pun membuat sedikit rumusan .... pertama saya kena cover balik tuduhan-tuduhan mereka terhadap guru mereka.
"Kita kena sama-sama menghargai segala jasa guru yang mengajar kita. Setiap orang ada kelemahan dan kelebihannya. Guru kamu sebenarnya sayang pada kamu semua ....." saya cuba sentuh emosi mereka lebih dari akal mereka. Mereka semua mendengar dengan penuh teliti kerana pada peringkat awal tadi mereka melihat saya menjadi pendengar yang amat setia.... kini mereka membalas balik jasa saya tadi. Semua kumpulan Alhamdulillah mendapat respons yang hampir sama.
Masya Allah .... keesokan harinya - program berjalan dengan begitu lancar. Mereka amat patuh mengikuti setiap apa yang dijalankan. Saya hampir menitiskan air mata melihat perubahan mereka .... hanya dengan teknik mendengar yang saya pelajari selama ini. Tapi ini semua dengan pertolongan dari Allah Yang Maha Berkuasa.
Saya dapat rumuskan, mereka ini biasanya akan nakal kerana rakan kata mereka nakal, ibu bapa kata mereka nakal, guru-guru kata mereka nakal..... jadi minda mereka sentiasa berkata - aku ni anak yang nakal, murid yang tidak berguna dan sebagainya. Itu sebab modul kami dinamakan AKU INSAN YANG CEMERLANG. Kita tanamkan balik bahawa mereka sebenarnya anak yang berpotensi.
Pernah kami buat modul ini di salah satu tempat di Sarawak. Seminggu selepas habis kursus, saya menghantar surat pada setiap orang bertanyakan apa yang mereka telah lakukan sejurus habis kursus. Salah seorang dari peserta menulis kembali, "Saya telah meninggalkan apa yang saya buat selama ini ..... mengambil dadah" - ibu bapanya sebenarnya tak tahupun beliau mengambil dadah. Semasa kursus pun saya tidak tahu mengenai hal ini.
Masya Allah .... dalam kursus saya tak sentuh pun berkenaan dengan dadah. Cuma kami cerita bagaimana nak jadi insan yang cemerlang. Kami bermain bersama-sama. Kami tidur bersama-sama dan kami makan bersama-sama. Cukup tersentuh dengan perubahan yang berlaku. Dalam diri saya tersemat satu ingatan - "Jika seorang mendapat hidayah dengan usaha kita - ia adalah lebih baik dari dunia dan segala isinya."
Sesungguhnya kita hanya berusaha tetapi yang memberi hidayah itu adalah Allah swt. Kadangkala Allah kurniakan rasa gembira di hati apabila ada yang berubah dan kita nampak perubahannya. Tetapi ada kalanya kita tak nampak pun ... tapi mungkin bibit perubahan itu kita telah tanam. Mungkin di satu masa nanti mereka akan berubah dan manalah tahu ada juga saham kita nanti di akhirat kelak. Yang penting, kita usaha dan terus berusa dengan ikhlas dan panjatkan doa pada Allah swt. Beramallah sementara tenaga anda masih ada ...sementara anda boleh bernafas. Tapi ingat sentiasa berdoa agar Allah kurniakan kita keikhlasan sebelum, semasa dan selepas melaksanakan sesuatu amal itu.

No comments:

Post a Comment