Saturday, August 15, 2015

Orang Dakwah ni lain macam ....dia boleh bergaul dengan kita orang

KISAH 32

Telah menjadi kebiasaan kami sewaktu menganjurkan aktiviti Perkhemahan untuk menjemput pelbagai pihak untuk turut serta. Kami pernah menjemput Askar Melayu di Raja Malaysia, Polis, Asian Youth Travelling Bureau (AYTB), Jabatan Belia dan Sukan, Jabatan Agama Johor dan pelbagai pihak lagi untuk sama-sama berganding bahu memberi sumbangan kepada aktiviti yang dijalankan. Selain dari menyumbang, mereka juga dapat mengenali kami dengan lebih dekat lagi.

Saya pernah terdengar pegawai dari AYTB sedang menalifon rakannya - nampak macam ingin meyakinkan sesaorang agar JIM ini dimasukkan sebagai salah satu NGO untuk menyertai Majlis Belia Daerah Johor Bahru. Ungkapan ini masih terngiang-ngiang di telinga saya. "Mereka ini memang kumpulan dakwah. Tapi mereka ini lain macam. Mereka boleh bergaul dengan kita orang"

Tersentak saya dibuatnya. Agaknya ada kategori kumpulan dakwah yang tidak mudah bergaul dengan orang seperti mereka. Bila dilihat kembali - memang ada di kalangan orang-orang dakwah ini (tidak terkecuali individu dalam JIM sendiri) yang tidak pandai bergaul dengan orang lain. Mereka hanya selesa berada di kalangan mereka sahaja dan tidak pandai untuk berinteraksi dengan orang lain.

Ada juga orang-orang dakwah yang pandai bergaul dengan orang lain - tetapi larut dengan orang tersebut. Jika mereka bergaul dengan orang yang lalai, mereka turut menjadi lalai. Sepatutnya, kita kena kekalkan identiti kita sebagai orang yang beriman dan berdakwah, di waktu yang sama boleh berinteraksi dengan pelbagai jenis manusia, peringkat umur, latarbelakang politik atau gerakan Islam yang lain.

Diringkaskan cerita, kami diterima masuk dalam Majlis Belia Daerah Johor Bahru. Saya dan dua orang rakan telah menghadiri mesyuarat mereka untuk pertama kali. Kebetulan itu adalah Mesyuarat Agung Daerah dan ada pemilihan AJK. Sejurus kami melangkah masuk dalam Majlis tersebut, tiba-tiba mereka terdiam... agaknya terdetik dalam hati masing-masing ..."ini dia rupanya orang-orang JIM"

Kami buat tak kisah dan bergaul seperti biasa dengan semua orang. Tiba-tiba masa pencalunan, nama saya telah dicalunkan untuk AJK. Dalam hati saya - Insya Allah tak menang dan kami tak berniat untuk menjadi AJK. Sangkaan saya meleset. Saya tersenarai dan terpilih menjadi ahli Jawatankuasa Majlis Belia Daerah JB...   Ya Allah ... sungguh tidak diduga. Nak kata gembira pun tidak .... sedih pun tidak. Ini bukan tujuan kami menghadiri majlis tersebut namun berniat untuk gunakan peluang untuk terus berdakwah.... Alhamdulillah.


No comments:

Post a Comment