KISAH 38
Satu ketika dulu, saya sering rujuk pada Dale Canargie, Steven Covey dan Zig Zaglar apabila mengendalikan kursus motivasi. Lama kelamaan, saya rasa ada sesuatu yang tidak kena. Rupa-rupanya mereka hanya mengajar tekniknya sahaja, tetapi roh di sebalik teknik tersebut tidak disertakan - kalau adapun agak "scanty" - terlalu sedikit. Berbanding dengan buku-buku Islam (ketika itu .... sekarang mungkin lain), banyak memberi roh tetapi tidak berapa hendak ditunjukkan secara praktikalnya bagaimana. Buku rujukan Barat ni kaya dengan contoh yang hidup.
Menyedari hakikat tersebut, saya telah mula mengorak langkah menggabungkan kekuatan kedua-dua pendekatan. Contoh: Bila menceritakan teknik berkomunikasi, saya akan mulakan dulu dengan memantapkan Jati Diri dan merujuk terus pada insan dan hubungannya dengan Allah swt. Sesaorang itu akan hebat jika dia menjaga kedua-dua hubungan - Hubungan dengan Pencipta dan Hubungan sesama manusia.
Bila sebut Hubungan dengan Pencipta - perkara utama ialah untuk mereka mengenali Allah swt. Kerana jika sesaorang tidak mengenal Penciptanya, masakan dia akan teringin untuk bergantung harap kepadaNya ... hakikat inilah perlu diterangkan dan dibuktikan sejelas mungkin agar tidak wujud satu pendekatan - I can be OK even though I do not pray - Saya akan OK, walaupun saya tidak bersolat.
Bertitik tolak dari perasaan kehambaan seaorang itu dengan Allah swt, maka timbul dorongan untuk menghayati beberapa teknik komunikasi yang berkesan. Itupun, di mana boleh, dikaitkan teknik yang diajar oleh Rasulullah saw dan dibuktikan dengan klip video dan gambar agar mereka dapat menghargai bahawa banyak dari teknik yang diajar itu sudah lama ditunjukkan oleh baginda Rasulullah saw. Contohnya:
“Janganlah meremehkan kebaikan sedikit pun juga walau engkau bertemu saudaramu dengan wajah berseri” (HR. Muslim no. 2626).
Di dalam Al-Quran bila menjelaskan teknik, dihubungkan insan itu terus kepada Allah swt , contohnya:
“Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (karena sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri” (QS. Lukman: 18).
Terus Allah kaitkan jangan memalingkan mukamu dari manusia itu dengan Allah tidak suka orang yang sombong. Itulah teknik motivasi yang saya kira ampuh dan berkesan Insya Allah. Janganlah kita terlalu mengagungkan penulis barat sehingga kita mengenepikan Hadis dan Al Quran yang mempunyai cara tersendiri bagi melembutkan hati manusia. Ini tidak bermakna kita tidak boleh membaca buku-buku tersebut, cuma kita kena letakkan ruh di sebalik teknik tersebut.
Moga pendedahan sedikit ini dapat memberi dorongan bagi kita untuk terus mengkaji Motivasi dari Perspektif Islam. Kini banyak sungguh buku dalam konteks ini... yang mungkin tidak berapa banyak satu ketika dulu.
No comments:
Post a Comment