Saturday, August 22, 2015

Manafaatkan Masa Bersama Pelajar

KISAH 43

Sekarang ini zaman multimedia. Dulu susah nak jumpa LCD .... LCD yang pertama saya beli untuk Fakulti berharga RM24,000. Sekarang ini harganya sudah lingkungan RM2,000 ke bawah. Dulu masa mengajar saya akan luangkan 5 minit terakhir untuk sessi tazkirah. Kini saya akan tayangkan klip video ...2 - 3minit panjangnya dan kemudian buat sedikit kupasan.

Ada kalanya bila dah tiba penghujung kelas,  pelajar akan minta, " Sir ... we want to see movie" Salah satu klip yang saya sering tunjukkan dalam kelas ialah kisah di bawah ini. Adam merupakan seorang pesakit mental. Dia agak pelik dengan perangai lelaki tua yang bertanyakan berapa jumlah jari yang ditunjukkan. Rata-rata orang jawab 4. Tapi dia kata salah.

Satu hari, Adam masuk ke bilik ahli matematik ini (juga seorang pesakit jiwa) dan bertanyakan jumlah jari yang ditunjukkan. Adam disuruh jangan fokus pada jarinya.... jangan fokus pada masalah. Fokus pada penyelesaiannya... "Focus on the solution"..... akhirnya dia nampak 8 jari. "Betul" kata ahli matematik tersebut. Bila anda fokus pada masalah - anda tidak akan nampak penyelesiannya. Tapi fokus pada bagaimana nak selesaikan masalah.

Saya beri contoh praktikal. Jika kita ada masalah kewangan... jangan terlalu gusar sehingga tak dapat tidur malam. Fokus kepada bagaimana nak mendapatkan duit, bagaimana nak menjana duit. Barulah kita akan merasa lega dan bertenaga. Jika kita ada masalah peribadi .... fokus bagaimana hendak menyelesaikannya .... barulah kita akan nampak peranan sembahyang dalam kehidupan, peranan Percaya pada Tuhan dalam kehidupan .... dan dengan itu kita akan mudah untuk mengorak langkah ke arah menyelesaikan masalah kita itu tadi.

Di zaman sains dan teknologi ada banyak cara untuk berhubungan dengan pelajar dan menyelesaikan masalah pelajar. Saya guna FB group. Maka setiap masalah pelajar di upload dlm FB dan saya akan selesaikannya Insya Allah dan upload ke FB agar ramai dapat manafaatnya. Ada kalanya saya buat klip video bagi menjelaskan sesuatu masalah yang agak kompleks dan share dlm FB group.

Sesekali saya ambil gambar pelajar di dalam kelas dan upload dalam FB. Ada juga saya buat dua kumpulan dalam bilik kuliah dan buat kuiz di mana setiap kumpulan akan mendapat markah terkumpul dan yang kalah kena padam papan putih.

Apabila masalah teknikal pelajar kita cuba selesaikan sebaik mungkin, tazkirah dan teguran yang diberikan akan mudah diterima. Kerana asalnya mereka datang ke UTM untuk belajar. Tazkirah itu adalah sekadar pemangkin kepada proses pembelajaran mereka. Pelajar yang sakit ruhnya biasa akan berhadapan dengan 1001 masalah yang dirasakan rumit tetapi sebenarnya mudah diselesaikan.





Friday, August 21, 2015

Kerdil sungguh kita ni

KISAH 42

Antara soalan yang saya suka tanya pada para peserta untuk memberi gambar betapa besarnya alam semesta ini ialah:

"Berapakah jauhnya dari Johor ke Kuala Lumpur?"

Biasanya ramai akan jawab betul.... lebih kurang 380km

Soalan seterusnya, "Berapakah jauhnya bulan dari bumi?" .. ramai terpinga-pinga

"Jawapannya - jika kamu pergi dari Johor ke KL sekali ... pergi dan balik kira dua kali ... 1000 kali jarak itu bersamaan dengan jarak dari bulan ke bumi .... 380,000 km"

Kita akan lihat para peserta kata, "Jauhnya ...." Itu belum jauh lagi ... cuba kita lihat jarak antara matahari dan pluto contohnya, 7.34 billion kilometer .... itu baru satu galaxy. Saya kemudian bertanya pula ... ada berapa galaxy dalam alam semesta.

Ada yang jawab  3 ada jawab 7. Jawapannya ialah antara 100 hingga 200 billion galaxy.. ada juga saintis anggarkan 500 billion galaxy.  Masya Allah - besarnya alam semesta ini. Jika dikaji lagi - adakah semuanya ini wujud dengan tidak disengaja.

Fred Hoyle ada menyebut, Keberangkalian, alam semesta ini jadi dengan tidak sengaja ialah seperti mengandaikan puting beliung yang bertiup kencang di belakang rumah kita dan kemudian terjadilah Boeing 747. Maknanya tidak mungkin alam semesta ini terjadi dengan sendirinya. Serupa juga tidak mungkin Boeing 747 terjadi dengan tiupan puting beliung.

Cuba lihat video di bawah ini ... dan ungkapkan dengan penuh keikhlasan - Masya Allah.... Allah adalah Maha Berkuasa dan Maha Mencipta. Tapi manusia itu sombong dan bongkak. Disangkanya mereka akan hidup bahagia tanpa Allah sebagai sumber tempat ia bergantung dan memohon pertolongan dan bantuan. Disangkanya mereka akan hidup bahagia tanpa menyembah Allah swt Yang Maha Esa lagi Maha Bijaksana. Nampak cukup tenang dan relax tanpa mengerjakan sembahyang ... seolah-olahnya tidak ada balasan kubur dan tidak ada balasan syurga dan neraka.

Sebenarnya hidup mereka ini hanya cantik dan bahagia di luar namun merana di dalam. Perkara ini telah diakui sendiri oleh ramai orang - terutama mereka yang baru memeluk Islam... seperti Cat Stevens. "Engkau lihat aku gembira menyanyi dan bermain musik, namun aku merana di dalam"

Bagi orang yang beriman, mereka akan sentiasa mendekati Allah swt dengan sembahyang dan zikir dan melaksanakan apa jua yang diperintahkan Allah dan menjauhi apa jua yang dilarang oleh Allah swt. Mereka kenal Allah swt. Mereka yakin bahawa Allah yang menjadikan segala-galanya ini.

Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan Bumi, dan silih bergantinya malam dan siang, terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal.Yaitu orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri dan duduk, dan dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi sambil berkata: "Ya Tuhan kami, Engkau tidak menciptakan ini dengan sia-sia! Maha Suci Engkau! Maka peliharalah kami dari siksa neraka."  Al Imran 190-191




Wednesday, August 19, 2015

Image Consultant

KISAH 41

"Abang tak bolehlah jalan terlalu cepat ... pening orang di buatnya"

"Elok rasanya jangan pause kan video tu cepat sangat .... "

"Jangan pakai baju tu ... tak sesuai dengan suasana orang kampung"

Begitulah antara teguran Image Consultant saya - yang menjalankan tugasnya cukup cekap dan amanah. Cuma kena tahan sikit telinga dan turunkan sikit ego. Jika kita tidak boleh ditegur dan diperbetulkan, tunggulah saat kejatuhannya.

Siapa Image Consultant saya? Berapa bayaran yang perlu saya bayar ..... Beliau adalah isteri saya sendiri dan bayarannya PERCUMA. Kalau ikut nilaiannya cukup tinggi - tak terbayar. Alhamdulillah saya mempunyai seorang isteri yang hampir setiap kali mengikuti saya semasa program ceramah dan kursus. Malahan beliau sendiri akan menjadi salah seorang dari fasilitatornya.

Untungnya melantik isteri selaku Image Consultant .... servisnya berjalan 24 jam, 7 hari seminggu. Bukan senang nak cari servis sedemikian rupa.

"Engkau senang le ... isteri engkau tak bekerja"  ada orang menegur saya.

"Ye ... isteri saya tak bekerja. Dia mengemas rumah... sebab dia tak bekerja. Dia menjaga anak seramai 9 orang ... sebab dia tak bekerja. Dia menjaga makan minum saya dan anak-anak saya sebab dia tidak bekerja. Saya pula perlu rehat sebab saya letih bekerja"

Namun melibatkan isteri dalam kerja-kerja dakwah yang kita lakukan akan meringankan beban kerja kita. Apatah lagi menyedari perempuan ni ada sifat-sifat yang melengkapi sifat-sifat yang ada pada lelaki secara umumnya. Perempuan biasa suka melihat pada "details". Lelaki pula biasanya secara umum dan "overall". Perempuan akan sensitif pada perkara yang kecil dan remeh... manakalah lelaki pula sensitif pada perkara yang pokok.

Maka bagi sesiapa yang hendak bernafas panjang dalam kerja-kerja dakwah dan kebajikan - libatkanlah isteri dalam kerja-kerja kita. Jangan ada sifat, "Ini orang lelaki punya hal. You jangan ganggu"  atau  "you jaga anak baik-baik ...sudah memadai... kerja kerja ni tak sesuai dengan you"

Cuba kita kaji apakah peranan Aisyah dan Khadijah dalam dakwah Rasulullah saw. Banyak boleh kita pelajari dalam kehidupan keluarga baginda Rasulullah saw.

Buaya Friend dan Gila Friend (Boyfriend and Girlfriend)

KISAH 40

1.13 juta views .... walaupun nampak kecil dibandingkan dengan video antarabangsa yang lain, tapi cukup besar bagi saya. Inilah antara video yang saya selalu mainkan bila nak mengetengahkan bagaimana cinta dalam Islam itu berlaku. Kalau hendak secara terperinci boleh ke link berikut: Memilih Calun Isteri - panduan dari Rasulullah saw.

Cuba kita kaji sikit lirik nasyid di bawah ini ... cuba tengok rangkap berikut:

Ya Allah
Jika dia benar untukku
Dekatkanlah hatinya dengan hatiku
Jika dia bukan milikku
Damaikanlah hatiku
Dengan ketentuan-Mu

Inilah antara langkah terpenting dalam memilih calun isteri/suami. Setelah kita rasa berkenan pada sesaorang  itu, biasanya si jejaka akan buat sedikit kajian secara indirect tanpa pengetahuan si wanita. Kerana kita nak pastikan pasangan kita itu BAIK AGAMANYA ....

Tapi kalau kita nak buat kajian ikut cara terkini - dengan bergayut pada handphone, FB, berkepit ke sana, berkepit ke sini .... of course guru kita bukan lagi Rasulullah saw tetapi Syaitan yang terkutuk. Mana mungkin kita akan dapat pasangan yang baik AGAMAnya jika itu jalan yang kita gunakan. Kalau masing-masing BAIK AGAMANYA mereka tidak akan memilih jalan itu.

"Tapi Dr ... mana kita tahu buruk baiknya jika tak buat begitu"

Persoalannya adakah kita akan tahu buruk baiknya  secara 100% jika kita buat sebegitu. Walhal bila kita dok berkepit sana berkepit sini, syaitan akan jadi orang ketiga. Mana mungkin akan ada keberkatan dalam hubungan dua insan tersebut.

Manakala jika kita buat sepertimana apa yang disarankan oleh Rasulullah saw dan akhirnya kita SEMBAHYANG ISTIKHARAH ... dan antara isi doanya mafhum macam dalam lirik nasyid di atas ... kita berserah kepada Allah. Jika dia itu baik untuk kita permudahkanlah. Insya Allah bahtera rumahtangga kita akan terkawal dan terjaga.

Cuba kita kaji maksud doa ISTIKHARAH berikut:


"Ya Allah, aku memohon petunjuk daripadaMu dengan ilmuMu dan aku memohon ketentuan daripadaMu dengan kekuasaanMu dan aku memohon daripadaMu akan limpah kurniaanMu yang besar. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkaulah Yang Maha Mengetahu segala perkara yang ghaib. Ya Allah, seandainya Engkau mengetahui bahawasanya urusan ini (sebutkan..) adalah baik bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, takdirkanlah ia bagiku dan permudahkanlah serta berkatlah bagiku padanya da seandainya Engkau mengetahui bahawa urusan ini (sebutkan..) mendatangkan keburukan bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, maka jauhkanlah aku daripadanya dan takdirkanlah kebaikan untukku dalam sebarang keadaan sekalipun kemudian redhailah aku dengannya".

Maka jika selepas berdoa, Allah permudahkan urusan kita dan kita dapat berkahwin - yakinilah ianya adalah pilihan yang tepat. Berdoa banyak-banyak dan berusaha untuk membahagiakan rumah tangga.

Manakala yang berbuaya friend dan bergila friend (boy friend and girl friend) - selepas berkahwin teringat girlfriend yang satu lagi ... rasanya lagi best dari yang sekarang ini... yang isteri pun terfikir begitu kerana sebelum ini ada lapan buaya friendnya .... maka begitulah terlungkup dan terlingkup rumah tangga yang berasaskan pada CINTA SEBELUM BERKAHWIN yang di momok momokkan oleh TV dan media massa sekarang ini. Kalau takde PAKWE dan MAKWE itu satu kehinaan yang amat sangat. Wahai wanita yang banyak buaya friend... kalau orang nak kahwin, orang tidak akan memilih orang seperti kamu yang mudah sangat dapat buaya friend ... mungkin kerana kecantikan mu. Lelaki JAHAT pun, bila nak kahwin, biasa akan cuba cari WANITA yang baik.

Penutup Kalimat: Dr Harlina pernah berkata dalam ceramahnya, "Kalau kamu nak dapat pasangan yang baik, wahai wanita sekelian, JADILAH WANITA YANG BAIK." Dan Dr Harlina mendapat suami yang cukup hebat, Ustaz Zulkifli ... Masya Allah.



Lirik Permata Yang Dicari - De Hearty

Hadirnya tanpa kusedari
Menggamit kasih cinta bersemi
Hadir cinta insan padaku ini
Anugerah kurniaan Ilahi

Lembut tutur bicaranya
Menarik hatiku untuk mendekatinya
Kesopanannya memikat di hati
Mendamaikan jiwaku yang resah ini

Ya Allah
Jika dia benar untukku
Dekatkanlah hatinya dengan hatiku
Jika dia bukan milikku
Damaikanlah hatiku
Dengan ketentuan-Mu

Dialah permata yang dicari
Selama ini baru kutemui
Tapi ku tak pasti rencana Ilahi
Apakah dia kan kumiliki
Tidak sekali dinodai nafsu
Akan kubatasi dengan syariat-Mu
Jika dirinya bukan untukku
Redha hatiku dengan ketentuan-Mu

Ya Allah
Engkaulah tempat kubergantung harapanku
Kuharap diriku sentiasa di bawah rahmat-Mu
Lirik Permata Yang Dicari - De Hearty @ Lirikami


Sumber : http://www.liriklagumuzika.com/2009/09/lirik-permata-yang-dicari-de-hearty.html#ixzz3jGoSZgfN








Tuesday, August 18, 2015

Jadilah Resmi Padi

KISAH 39

Biasanya pada peringkat awal kursus motivasi, saya akan tayangkan video di bawah ini. Video memaparkan pegawai dari INTAN begitu tekun mendengar ceramah dan melibatkan diri dalam aktiviti yang dianjurkan. Pegawai INTAN tu ada yang telah lebih 25 tahun mengendalikan kursus motivasi untuk orang lain, namun mereka cukup merendahkan diri apabila mengikuti kursus yang dianjurkan oleh orang lain. Sikap mereka ini saya amat dipuji dan disanjung. Kata pepatah Jadilah Resmi Padi, lagi berisi lagi tunduk. Jangan jadi seperti Lalang.

Memang ada yang begitu sombong bila mengikuti kursus .... "ini aku dah pernah buat", "ini aku dah pernah lalui" dan seumpamanya. Jika itulah sikapnya, susah untuk belajar dari orang lain. Apabila saya tayangkan sesuatu klip video, saya selalu anjurkan mereka menyaksikannya seolah-olah itu kali pertama mereka menyaksikannya. Manalah tahu ada sudut-sudut yang belum pernah disedari.

"Dr. Saya dah tengok banyak kali klip tersebut. Tapi belum pernah saya nampak dari sudut yang Dr terangkan tadi" antara luahan para peserta.

"Saya dah banyak kali ikuti kursus - tapi kali ni ada kelainannya"

Itulah sebabnya pada setiap awal kursus saya akan terangkan syarat-syarat kejayaan kursus. Kursus bukan bergantung 100% kepada pengendali sahaja tetapi banyak bergantung pada para peserta.
- Sikap tawadhu
- Melibatkan diri dengan sepenuh hati
- Hero kalah dulu - program berjalan dalam bentuk pertandingan kumpulan. Kalau kalau pada peringkat awal jangan putus asa.

Masya Allah - apabila konsep ini difahami barulah mudah mengendalikan kursus - tidak kira di peringkat mana, kakitangan awam, pekerja kilang mahupun pegawai gred A.








Motivasi dari Perspektif Islam

KISAH 38

Satu ketika dulu, saya sering rujuk pada Dale Canargie, Steven Covey dan Zig Zaglar apabila mengendalikan kursus motivasi. Lama kelamaan, saya rasa ada sesuatu yang tidak kena. Rupa-rupanya mereka hanya mengajar tekniknya sahaja, tetapi roh di sebalik teknik tersebut tidak disertakan - kalau adapun agak "scanty" - terlalu sedikit. Berbanding dengan buku-buku Islam (ketika itu .... sekarang mungkin lain), banyak memberi roh tetapi tidak berapa hendak ditunjukkan secara praktikalnya bagaimana. Buku rujukan Barat ni kaya dengan contoh yang hidup.

Menyedari hakikat tersebut, saya telah mula mengorak langkah menggabungkan kekuatan kedua-dua pendekatan. Contoh: Bila menceritakan teknik berkomunikasi, saya akan mulakan dulu dengan memantapkan Jati Diri dan merujuk terus pada insan dan hubungannya dengan Allah swt. Sesaorang itu akan hebat jika dia menjaga kedua-dua hubungan - Hubungan dengan Pencipta dan Hubungan sesama manusia.

Bila sebut Hubungan dengan Pencipta - perkara utama ialah untuk mereka mengenali Allah swt. Kerana jika sesaorang tidak mengenal Penciptanya, masakan dia akan teringin untuk bergantung harap kepadaNya ... hakikat inilah perlu diterangkan dan dibuktikan sejelas mungkin agar tidak wujud satu pendekatan - I can be OK even though I do not pray - Saya akan OK, walaupun saya tidak bersolat.

Bertitik tolak dari perasaan kehambaan seaorang itu dengan Allah swt, maka timbul dorongan untuk menghayati beberapa teknik komunikasi yang berkesan. Itupun, di mana boleh, dikaitkan teknik yang diajar oleh Rasulullah saw dan dibuktikan dengan klip video dan gambar agar mereka dapat menghargai bahawa banyak dari teknik yang diajar itu sudah lama ditunjukkan oleh baginda Rasulullah saw. Contohnya:

Janganlah meremehkan kebaikan sedikit pun juga walau engkau bertemu saudaramu dengan wajah berseri” (HR. Muslim no. 2626).

Di dalam Al-Quran bila menjelaskan teknik, dihubungkan insan itu terus kepada Allah swt , contohnya:

Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (karena sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri” (QS. Lukman: 18).

Terus Allah kaitkan jangan memalingkan mukamu dari manusia itu dengan Allah tidak suka orang yang sombong. Itulah teknik motivasi yang saya kira ampuh dan berkesan Insya Allah. Janganlah kita terlalu mengagungkan penulis barat sehingga kita mengenepikan Hadis dan Al Quran yang mempunyai cara tersendiri bagi melembutkan hati manusia. Ini tidak bermakna kita tidak boleh membaca buku-buku tersebut, cuma kita kena letakkan ruh di sebalik teknik tersebut.

Moga pendedahan sedikit ini dapat memberi dorongan bagi kita untuk terus mengkaji Motivasi dari Perspektif Islam. Kini banyak sungguh buku dalam konteks ini... yang mungkin tidak berapa banyak satu ketika dulu.

Monday, August 17, 2015

Kebahagiaan yang dicari tak kunjung tiba

KISAH 37

Kesian sungguh lihat remaja yang berkumpul di depan saya - menunggu dengan penuh kesabaran ceramah yang bakal saya sampaikan. Mereka bukan remaja biasa .... tetapi remaja yang pernah mengandung dan ada yang sudah melahirkan anak ... remaja yang telah terlibat dengan zina.

Rupa mereka "innocent" sangat. Memang pun, ada di antara mereka tak dapat bayangkan implikasi perbuatan zina mereka. Ada kalangan pakwe mereka kata, "Alah .... bukan susah sangat ... kalau mengandung nanti cuci ajeee"   mudahnya. Ada kalangan ibu bapa anak-anak ini minta pakwenya jaga sementera mereka outstation... macam suruh kucing jaga ikan kitalah jawabnya..

Mereka ini dikumpulkan dalam satu rumah perlindungan yang diberi nama Raudhatus Sakeenah. Kebiasaannya keluarga mereka yang menghantar mereka ke sini. Di sini mereka akan di tarbiyyah selama 1 tahun 1 bulan dengan program seperti sembahyang jemaah, kuliah agama, sembahyang tahajjud, puasa sunat dan pelbagai aktiviti lagi. Alhamdulillah ada kalangan mereka yang berubah sungguh dan menjadi guru mengaji bagi anak-anak di tempat mereka. Dan ada juga yang berdegil. Kita berusaha dan kemudian tawakal kepada Allah swt.

Isteri saya pernah menjadi Pengerusi Raudhatus Sakeenah dan seperti biasa, saya akan menjadi pembantu beliau. Bagus juga - sekurang-kurangnya saya ada "first-hand experience" dengan remaja yang terjebak dengan zina dan akan menjadi bahan ceramah saya pada remaja di luar sana agar jangan mendekati zina.

Antara jalan menuju ke zina yang paling mudah sekarang ini ialah BERCINTA. Kononnya, untuk mendirikan rumah tangga bahagia, remaja kena BERCINTA. Tak kenal maka tak cinta ... begitulah ungkapan yang biasa tersemat di hati mereka. Apatah lagi ia telah menjadi lumrah kehidupan remaja masa kini. TV dan Filem pun memaparkan BERCINTA adalah satu-satunya jalan untuk mencapai kebahgiaan yang sejati selepas berkahwin.

"Ustaz ... bagaimana saya nak yakinkan remaja di luar sana bahawa BERCINTA SELEPAS BERKAHWIN itu adalah cara Islam." saya pernah tanya soalan ini pada Ustaz Alias Othman.

"Hisham .... beri tahu mereka ramai rakan-rakan kita yang BERCINTA SELEPAS BERKAHWIN... sekarang sudah beranak cucu ... bahagia sokmo. Cuba tengok para artis yang mempelopori BERCINTA SEBELUM KAHWIN ... ramai yang kecundang di tengah jalan."

Biasa dihujung ceramah  Impian Kasih antara Fantasi dan Realiti - saya akan cerita bagaimana saya bertemu jodoh satu ketika dulu .... tapi biasanya cerita ini akan ditunggu-tunggu oleh para remaja. Memang sungguh ...jika kita ikut apa yang Rasulullah saw sarankan .... kita akan bahagia kerana itulah cara yang dikehendaki oleh Allah swt. Kita tidak akan bertemu dengan pasangan yang ideal namun bagaimana kita mengendalikan pasangan kita seadanya itu akan menentukan kebahgiaan kita di kemudian hari. Mungkin di keluaran yang akan datang, saya akan cuba cerita sikit bagaimana Islam mengajar kita dalam mencari jodoh Insya Allah.

Ikutilah kisah seorang remaja yang pernah berzina dan kini kembali ke pangkal jalan